Sukan Lain

Hannah akan teliti kes pecah amanah KRM

Oleh Saiful Affendy Sapran

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak mahu mengulas lanjut berhubung kes pecah amanah yang disyaki dilakukan oleh seorang kakitangan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Jelasnya, beliau perlu mendapatkan laporan dan butiran terperinci terlebih dahulu berhubung perkara berkenaan.

Namun katanya, beliau mementingkan akauntabiliti dalam setiap peruntukan yang diperolehi dan ia mungkin akan diaplikasikan di dalam pentandbirannya.

"Saya tak nak komen mengenai persatuan (KRM), saya nak tengok laporan dan butiran dahulu, tapi untuk saya, memang sejak saya menjadi wakil rakyat, saya percaya dalam melaksanakan tanggungjawab, kita perlu ada juga akauntabiliti dalam peruntukan yang diberikan.

"Seperti peruntukan Ahli Parlimen yang diberikan kepada saya setiap tahun, saya paparkan secara 'online' siapa yang dapat, persatuan mana dapat dan saya percaya selepas mendengar taklimat, kalau ada keperluan, mungkin kita perlu paparkan supaya ada ketelusan.

"Supaya semua orang tahu di mana bajetnya, di mana perbelanjaannya," katanya pada sidang media selepas hadir ke majlis melapor diri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

KRM dalam satu kenyataan semalam menyatakan kejadian pecah amanah itu disyaki dilakukan seorang kakitangan KRM yang sekarang ini tidak dapat dihubungi dan dikesan.

Kakitangan itu dikatakan memalsukan tandatangan Presiden dan Bendahari Kehormat KRM bagi memasukkan nama beliau sebagai salah seorang penandatangan cek.

Beberapa sumber dalaman mendakwa kerugian melebihi RM1 juta dengan pengeluaran itu berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya pada 2019.

Sementara itu, Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kakitangan itu turut memanipulasi sistem audit.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 2:07pm
d