Sukan Lain

Atlet guna media sosial untuk raih undian AIS

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Barisan atlet terpilih untuk pusingan kedua undian lima terbaik Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro mula berusaha untuk meraih undian dengan berkongsi maklumat di platform media sosial masing-masing.

Antara yang berbuat demikian adalah penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang berkongsi di Instagram (IG) Story miliknya selepas tercalon untuk Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru.

Dia akan bersaing dengan empat calon lain iaitu beregu utama badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, Tahira Najmunissa Muhammad Zaid (duathlon), Intan Serah Anisah Zulgafli (futsal) dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah).

Tahira turut berkongsi proses undian itu di IG Story miliknya selepas turut berbuat demikian pada pusingan pertama sebelum ini yang membabitkan 20 atlet bagi setiap kategori.

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut tidak melepaskan peluang 'mempromosikan dirinya' dengan berkongsi proses undian itu di akaun media sosial miliknya selepas berada dalam senarai lima terbaik Ikon Sukan Harapan.

Dia akan bersaing bersama-sama Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin (menembak), Hakim Danish Ramli (permotoran), Khiew Hoe Yean (renang) serta Arif Aiman Hanapi (bola sepak).

Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) turut berkongsi maklumat atlet kelahiran negeri itu di Facebook mereka iaitu Tze Yong dan atlet menembak, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin yang tercalon untuk Ikon Sukan Harapan selain kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tercalon untuk Ikon Sukan Persatuan/Kelab.

Pusingan kedua proses undian membabitkan atlet dan ahli sukan terpilih dalam kalangan lima terbaik (top 5) sudah bermula pada 1 Disember lalu sehingga 25 Disember ini.

Ini bermakna, lima calon disenarai pendek bagi setiap kategori itu akan berentap sekali lagi dengan pemilihan kali ini membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Seorang pemenang yang meraih undian dan markah paling banyak akan dinobatkan dengan AIS Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang disiarkan secara langsung, Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi bagi AIS manakala Gardenia Bakeries sebagai penaja utama.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan ialah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru; Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 7:26pm
d