Sukan Lain

Djokovic 'tingkat gear' di Adelaide

Oleh AFP

Adelaide, Australia: Novak Djokovic bakal memulakan misi memburu gelaran Terbuka Australia ke-10 dengan menyertai kejohanan Antarabangsa Adelaide, menurut penganjur hari ini selepas pemain Serbia itu diberikan visa masuk ke negara terbabit.

Pemain nombor lima dunia itu terlepas Grand Slam pertama 2022 apabila diarah pulang susulan enggan mematuhi syarat wajib vaksin Covid-19.

Australia kemudiannya membatalkan keperluan menunjukkan bukti vaksinasi kepada pengunjung dan hukuman penggantungan tiga tahun ke atas Djokovic ditarik balik bulan lalu.

Djokovic berkata ketika itu dia berasa amat lega.

"Terbuka Australia antara Grand Slam paling berjaya kepada saya," katanya. "Saya mempunyai beberapa memori indah di sana."

Djokovic akan berdepan beberapa pencabar hebat di kejohanan bermula 1-8 Januari seperti Felix Auger-Aliassime, Daniil Medvedev dan Andrey Rublev yang menduduki ranking keenam, tujuh dan lapan selain juara dua kali Wimbledon Andy Murray.

Musuh ketatnya sekian lama, Rafael Nadal yang juga juara bertahan Terbuka Australia sebaliknya menyertai Piala United, kejohanan berpasukan campuran baharu di Perth, Brisbane and Sydney sebagai pemanas badan sebelum Grand Slam.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 11:02am
d