Sukan Lain

Gardenia Bakeries teruja nanti pemenang utama [METROTV]

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Penaja utama Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM), Gardenia Bakeries cukup teruja untuk menanti-nantikan siapakah yang akan dinobatkan selaku pemenang utama pada malam kemuncak AIS, 8 Januari 2023.

Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas berkata, persaingan untuk merebut hadiah utama dilihat cukup sengit dan ia bakal menambah keterujaan AIS yang kali pertama dianjurkan.

"Sebagai penaja utama kami sangat gembira menjadi sebahagian peneraju utama kepada anugerah yang julung kali dianjurkan ini. Kami juga berbesar hati dapat mencipta sejarah bersama Harian Metro.

"Secara peribadi, saya memang menantikan siapakah yang akan diundi oleh rakyat Malaysia. Bermakna atlet yang dipilih adalah digemari ramai.

"Anugerah yang akan diperolehi oleh mereka ini adalah ganjaran untuk diri sendiri sebab mereka sudah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Kami dan Harian Metro ingin menggembirakan atlet yang sudah berjasa untuk negara dan ia adalah satu bonus untuk mereka," katanya.

Beliau ditemui pada majlis pengumuman pra-kemuncak AIS HM, hari ini bagi mengumumkan finalis lapan kategori utama yang akan bersaing untuk dinobatkan sebagai pemenang utama keseluruhan iaitu Anugerah Ikon Sukan Terbaik.

Bagi pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik, mereka akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Harian Metro turut berbesar hati memberi hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro di mana pemenang akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Pemenang bagi setiap kategori dan anugerah utama itu akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada jam 8.30 malam, 8 Januari 2023.

Malam kemuncak AIS HM bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Proses undian peringkat kedua bagi finalis setiap kategori sudah bermula pada 1 Disember lalu dan akan berakhir pada 25 Disember ini.

Undian boleh dibuat menerusi pembelian akhbar Harian Metro dan di laman web AIS HM www.hmetro.com.my/ais.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 7:40pm
d