Sukan Lain

Raih emas, pecah rekod

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Bukan sahaja mahu membawa pulang pingat tetapi memecahkan rekod kebangsaan, itulah harapan diletakkan kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara apabila beraksi di Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Menurut jurulatih olahraga negara, Mohd Poad Md Kassim, ia bukan misi mustahil berdasarkan perkembangan prestasi ditunjukkan barisan atlet pecut negara yang ketika ini sedang berkampung di Australia sejak 16 Mac lalu.

"Catatan masa direkodkan pelari negara ketika Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, hujung minggu lalu membuktikan mereka di landasan tepat untuk mencetuskan impak di Kemboja," katanya.

Kejohanan di Queensland itu menyaksikan Malaysia mendominasi kedudukan podium diketuai Khairul Hafiz Jantan yang merakamkan masa terpantas 10.34 saat (s) - catatan terbaik musim ini, diikuti Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.41s manakala Jonathan Nyepa ketiga 10.43s.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan catatan mereka lakukan. Sebenarnya, ini bukanlah mengejutkan kerana memang dalam latihan pun mereka sudah melakukannya.

"Selepas ini fokus akan diberikan kepada acara 4x100m ini apabila mereka beraksi pada Terbuka Australia pada 30 Mac ini. Memang harapan kita untuk membentuk kuartet mantap bagi memecahkan rekod kebangsaan selain bersaing mendapatkan pingat," katanya.

Pada Sukan Sea Hanoi, tahun lalu kuartet yang dibarisi Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat dan Muhammad Zulfiqar Ismail bukan saja berjaya memenangi pingat perak malah turut memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.09s sekali gus memperbaiki rekod 39.27s yang dibuat pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Di Kemboja nanti, hanya Azeem yang tidak dapat beraksi kerana berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan tempatnya digantikan dengan Khairul Hafiz selain Jonathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib turut disenaraikan membarisi kuartet kali ini.

Disiarkan pada: March 23, 2023 @ 5:17pm
d