Sukan Lain

Jessica, Coco mara ke pusingan ketiga Terbuka Miami

Oleh Reuters

Miami: Pemain tenis Amerika Syarikat (AS), Jessica Pegula dan Coco Gauff berjaya mencatat kemenangan ke atas pemain Kanada untuk menempah slot ke pusingan ketiga Terbuka Miami.

Jessica yang juga pemain pilihan ketiga mengalahkan pemain dari pusingan kelayakan, Katherine Sebov 6-3, 6-1 dan akan berdepan rakan senegara, Danielle Collins selepas ini.

Coco yang berjaya mengatasi Rebecca Marino 6-4, 6-3 akan menentang wakil Rusia, Anastasia Potapova.

Jessica yang berjaya mara ke separuh akhir di Miami tahun lalu dan tinggal 40 minit dari gelanggang pertandingan, berjaya mematahkan lima daripada sembilan servis lawan ketika kali pertama bertemu Katherine.

"Saya hanya mahu keluar bermain dan menyelesaikan urusan ini sebaik mungkin, berjaya mengatasi beberapa saat sukar pada set pertama tetapi selepas itu saya merasakan mula mendapat rentak," kata Jessica.

Jessica memulakan aksi dengan mematahkan servis lawan namun Katherine berjaya melakukan perkara sama untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum pemain AS itu mengawal permainan dengan sekali lagi mematahkan servis lawan untuk mendahului 3-2 dan menyelesaikan aksi set pertama dalam 35 minit.

Pemain berusia 29 tahun itu melalui aksi mudah di set kedua di mana dia mematahkan servis lawan lebih awal untuk mendahului 2-0 dan hanya melepaskan dua mata ketika melakukan servis.

Coco yang tinggal di bahagian tenggara Florida dan mara sehingga ke suku akhir Indian Wells baru-baru ini, juga mematahkan lima servis lawan daripada sembilan peluang dan bangkit daripada kegagalan servisnya di set kedua.

"Beraksi di laman sendiri sentiasa membuatkan saya ternanti-nanti namun ia juga memberikan sedikit tekanan kerana anda tahu semua mahukan anda beraksi sebaik mungkin di sini," kata Coco.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 6:22am
d