Sukan Lain

Inilah pengorbanan buat atlet Muslim - Amir

Oleh Agensi

London: Walaupun sudah bersara dari dunia tinju, pemenang pingat Olimpik, Amir Khan tidak lokek untuk berkongsi pengalaman berlatih ketika di bulan Ramadan.

Amir yang meraih perak di Sukan Olimpik Athens 2004, mengakui tidak sabar untuk menyambut kedatangan bulan penuh mulia ini dan mengakui bahawa puasa tidak menghalangnya untuk melakukan persiapan rapi ketika masih aktif sebagai petinju.

Bekas juara remaja dunia itu akan meraikan bulan Ramadan dan sebelum ini bercakap mengenai bagaimana puasa tidak akan memberi kesan buruk terhadap prestasinya.

"Selepas berpuasa sepanjang hari saya makan lewat petang, pergi ke masjid untuk solat dan kemudian pergi ke gimnasium pada tengah malam untuk berlatih selama kira-kira sejam.

"Ia amat sukar tetapi motivasi bagi saya ialah lawan saya sedang tidur ketika Amir Khan sedang berlatih.

"Ia bukanlah sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang ahli sukan tetapi itulah pengorbanan yang perlu anda lakukan apabila anda seorang Muslim."

Amir Khan mengumumkan persaraan daripada sukan tinju tahun lalu selepas mengharungi kerjaya profesional selama 17 tahun.

Petinju Britain berusia 36 tahun itu bersara dengan rekod 34 kemenangan dalam 40 pertarungan.

Kerjaya Amir berakhir dengan kekalahan apabila dia dihentikan pada pusingan keenam pertarungan menentang rakan senegara, Kell Brook di Manchester pada Februari tahun lalu.

Amir menjadi juara dunia pada 2009, menewaskan Andriy Kotelnik dari Ukraine dalam pertarungan super welerweight WBA dan mengalahkan petinju Amerika Syarikat, Zab Judah untuk menambah tali pinggang IBF dua tahun kemudian.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 1:24pm
d