Sukan Lain

Yakult anjur bengkel lompat tali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd terus menunjukkan komited dalama usaha untuk memeriahkan Hari Kesihatan Sedunia apabila menganjurkan Bengkel Lompat Tali dengan kerjasama Persatuan Lompat Tali Malaysia, semalam.

Program terbabit berlangsung di dua lokasi berlainan iaitu di Spacerubix Puchong, semalam sebelum dianjurkan di The TOP, Pulau Pinang pada Sabtu depan bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan bersukan sempena Hari Kesihatan Sedunia yang akan disambut pada 7 April setiap tahun.

Mengulas mengenai program terbabit, Pengarah Bersekutu Yakult Malaysia, Mazlyn Mena berkata, program Bengkel Lompat Tali ini selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu Perubatan Pencegahan di mana pencegahan lebih baik dari merawat, kesihatan usus yang baik akan dapat menjamin kesihatan yang berpanjangan.

Atas dasar itu, Yakult Malaysia sangat menyokong segala program dan aktiviti yang dapat membina kesihatan tubuh badan yang baik seperti bermain lompat tali selain daripada menghasilkan persekitaran yang sihat di bulan Ramadan ini.

"Bengkel Lompat Tali adalah program yang julung kalinya diadakan bersama Persatuan Lompat Tali Malaysia dengan tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia berkaitan penjagaan kesihatan melalui sukan lompat tali ini.

"Ia juga selaras dengan misi Yakult untuk menyokong segala program dan aktiviti yang dapat membina kesihatan tubuh badan yang baik menerusi penjagaan usus kerana 80 peratus sistem imun badan berpusat di usus.

"Kita boleh kuatkan usus dengan minuman probiotik seperti Yakult. Pada bulan Ramadan ini, kita juga boleh melakukan senaman ringan seperti lompat tali yang banyak memberikan faedah kepada kesihatan badan kita," katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, seramai 100 peserta menyertai bengkel ini serta cabaran lompat tali yang dibahagikan kepada beberapa kategori yang berbeza dengan pemenang mendapat hadiah istimewa dari pihak Yakult Malaysia dan Persatuan Lompat Tali Malaysia.

Disiarkan pada: April 3, 2023 @ 11:06am
d