Permotoran

Pelumba motosikal berusia 14 tahun maut dalam perlumbaan

Oleh AFP

Madrid: Pelumba motosikal berusia 14 tahun dari Sepanyol maut dalam perlumbaan di litar Motorland, bandar Aragonese dekat Alcaniz, menurut penganjur.

"Kami kesal mengumumkan bahawa pelumba Hawkers European Talent Cup, Hugo Millan, meninggal dunia dalam kemalangan yang tragis," dalam satu kenyataan di laman web Cuna de Campeones.

Millan yang bersaing dalam European Talent Cup, terjatuh daripada motosikal 13 pusing sebelum menamatkan perlumbaan.

Menurut laporan akhbar Sepanyol, Marca, motosikal dari arah belakang gagal mengelak Millan, sebelum merempuhnya di belakang badan dan bahagian leher.

Bendera merah segera dikibarkan, untuk memberhentikan perlumbaan dan selepas menerima rawatan kecemasan di litar, Millan diterbangkan menaiki helikopter ke Zaragoza Hospital.

Kejohanan European Talent Cup adalah salah satu kategori dalam FIM CEV, kejohanan antarabangsa bagi pelumba remaja di mana mereka berpeluang menyertai sirkit profesional.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 11:28pm
d