Permotoran

Perseteruan Hamilton, Verstappen sambung semula

Oleh AFP

Budapest: Lewis Hamilton tiba di Budapest hujung minggu ini untuk berdepan satu lagi cabaran dalam tekanan tinggi baik di dalam mahupun di luar litar di Grand Prix (GP) Hungary tatkala dia berharap dapat meraih kejuaraan kali ke-100 dalam kariernya.

Selepas merapatkan kedudukan dengan pendahulu keseluruhan, Max Verstappen kepada lapan mata di Silverstone, dalam perlumbaan kontroversi akibat pelanggaran di pusingan pertama, Hamilton mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraannya.

Pemandu berusia 36 tahun itu sudah meraih kejuaraan sebanyak lapan kali di Litar Hungaroring, di mana dia melengkapkan hatrik tahun lalu dan dijangka sekali lagi muncul juara Ahad ini.

Verstappen, yang tidak mengalami sebarang kecederaan serius, enggan berhujah mengenai perkara berkenaan dengan dia hanya cuma mengatakan bahawa Hamilton tidak hormat kepadanya dengan meraikan kemenangan di Silverstone sedangkan dia terbaring di hospital berdekatan.

"Saya tidak mahu komen mengenai apa yang sedang diperkatakan di media dan sejujurnya saya tidak mahu terbabit dengan apa yang berlaku.

"Saya tahu apa yang berlaku di Silverstone kerana saya sendiri berada dalam kereta itu.

"Sekarang saya hanya fokus untuk memastikan kami kembali memberi yang terbaik di dalam litar, jadi kami mampu untuk menjarakkan kedudukan keseluruhan.

"Pasukan saya boleh menguruskan berkaitan urusan rasmi dan apa saja yang diperlukan berkaitan dengan kemalangan itu namun tugas saya sama saja seperti biasa, berikan yang terbaik serta memenangi perlumbaan Ahad ini.

"Saya hanya mengalami sedikit lebam tapi ia perkara normal selepas impak kemalangan. Bagaimanapun, saya berlatih dan mula berasa selesa," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 12:04pm
d