Permotoran

Keluhan Hafizh dapat perhatian KBS

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia mengadakan pertemuan bersama pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk membincangkan hala tuju dan masa depan pelumba negara itu.

Ia selepas Hafizh mengesahkan akan mengundur diri daripada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas lapan tahun beraksi namun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui berkata adalah sayang sekiranya bakatnya itu tidak diteruskan.

Faizal berkata, KBS sentiasa mengamalkan dasar terbuka dan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pelumba NTS RW Racing GP itu.

"KBS bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Hafizh kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendengar masalah dan mencari jalan penyelesaian.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu. Yang penting adalah dia berusaha dan kami ada semangat untuk menolong. Kita akan dapatkan titik pertemuan untuk pastikan dia terbela," katanya.

Faizal berkata, bakat yang dimiliki Hafizh cukup besar dan amat penting buat pembangunan sukan permotoran negara.

"Kita tidak mahu kehilangan rakan atlet yang berpengalaman dan banyak berjasa kepada negara. Saya harap dia akan terus bersama dalam sukan permotoran mungkin boleh melatih pelumba baru atau terbabit dalam industri sukan itu sendiri.

"Ini kerana industri sukan itu sangat besar dan pulangannya sangat banyak," katanya.

Hafizh berkata keputusannya itu atas beberapa faktor, antaranya dia sudah sedaya upaya berusaha untuk mendapatkan keputusan terbaik bersama pasukan RW Racing GP namun ia tidak mendatangkan hasil yang diharapkan selain kekangan kewangan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Disiarkan pada: October 14, 2021 @ 5:03pm
d