Permotoran

Khairul Idham tidak letak sasaran tinggi

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Bekas pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi tidak meletakkan sasaran yang tinggi pada penampilan pertamanya dalam saingan Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Sebaliknya dia hanya mahu menikmati perlumbaan terutama selepas sekian lama tidak menunggu jentera dua roda itu. Khairul atau lebih dikenali dengan julukan Super Kip itu akan beraksi dalam kategori 600cc bersama pasukan TKKR Racing.

"Saya sebenarnya dah lama tak bawa motosikal sebenarnya. Hujung minggu saya cuba balik untuk menyesuaikan diri dan membiasakan balik dengan corak tunggangan.

"Apa yang saya nak buat hujung minggu ini adalah untuk menikmati perlumbaan dan mendapat feel berlumba balik dan kita lihat nanti macam mana keputusannya," katanya.

Terdahulu, Super Kip mengumumkan untuk keluar daripada persaraan selepas hampir setahun tidak berlumba apabila dilamar oleh pemilik pasukan TKKR Racing.

Pelumba berusia 23 tahun mengakui dia sememangnya rindu untuk kembali berlumba dan akan cuba beri yang terbaik untuk pasukannya nanti.

Super Kip tampil buat pertama kalinya memacu jentera TKKR dan turun ke litar pada sesi latihan bebas semalam dengan penuh semangat selepas hampir setahun tidak menunggang mana-mana jentera perlumbaan.

Latihan berkenaan turut disertai Mohd Akid Aziz yang juga rakan gandingan Khairul dalam kategori MSBK 600cc.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 2:36pm
d