Permotoran

Tiada perlumbaan F1 di China tahun depan

Oleh AFP

Paris: China tidak tersenarai dalam kalendar Formula Satu (F1) buat kali ketiga berturut-turut selepas senarai perlumbaan untuk musim 2022 membabitkan rekod baru 23 saingan dikeluarkan hari ini.

"Berikutan masalah pandemik, China tidak akan di masukkan ke dalam kalendar 2022. China akan dimasukkan ke dalam kalendar sebaik keadaan mengizinkan," kata kenyataan daripada badan induk, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Grand Prix (GP) China di Shanghai akan digantikan GP Emilia Romagna di Imola pada 24 April.

Musim 2022 akan bermula di Bahrain pada 20 Mac dan berakhir di Abu Dhabi pada 20 November.

Jadual musim depan juga menyaksikan pertambahan positif dalam kalendar sukan antarabangsa selepas pandemik.

Pada 2020 hanya 17 perlumbaan F1 dapat dijalankan sebelum ia meningkat kepada 22 saingan musim ini.

Musim depan saingan di Australia, Kanada, Singapura dan Jepun semuanya akan kembali diadakan selepas diketepikan pada 2020 dan 2021 kerana Covid-19 dan kekangan akibat masalah kesihatan.

Perlumbaan baharu di Miami juga disahkan pada 8 Mei ketika Amerika Syarikat menganjurkan dua perlumbaan dengan Austin pada 23 Oktober.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 2:40pm
d