Permotoran

Super KIP kembali menyinar

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi nyata masih berbisa apabila muncul juara perlumbaan pertama Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Biarpun tanpa sebarang latihan selepas hampir setahun meninggalkan dunia permotoran, pengalaman yang diperolehnya di kejohanan dunia nyata membantunya menewaskan pencabar lain.

Khairul Idham atau mesra dikenali dengan gelaran Super KIP yang beraksi bersama pasukan TKKR Racing dalam kategori 600cc, memulakan perlumbaan di petak keempat dan berjaya melengkapkan 10 pusingan dengan catatan masa 21 minit 59.034 saat.

Md Syarifuddin Azman atau Damok di tempat kedua 21:59.383s manakala Mohd Helmi Azman ketiga, 21:59.430s.

Bagi prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin, keputusan dilakar oleh Super KIP itu sesuatu yang di luar jangkaan malah beliau sendiri tidak menyangka pelumba itu mampu menguasai perlumbaan pertama itu.

"Setahun tidak berlatih dan menunggang motosikal berkuasa besar. Hanya mula menjalani latihan serta mencuba jentera Yamaha buat pertama kali pada Khamis dan Jumaat lalu, keputusan ini satu yang cukup membanggakan.

"Kami memang tidak meletakkan sebarang sasaran kepada Super KIP. Tapi kita tahu, memang dia seorang pelumba yang bagus dan hari ini dia buktikannya. Kali pertama beraksi bersama pasukan, dia terus podium," katanya.

Esok masih ada lagi dua perlumbaan buat Khairul Idham untuk melengkapkan saingan MSBK di litar SIC dengan Bobie berharap pelumba kelahiran Perak itu mampu untuk mengekalkan rentak dan meraih kedudukan podium sekali lagi.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 6:53pm
d