Permotoran

Petronas, Mercedes berpisah?

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Adakah Petronas dan Mercedes akan 'berpisah' di saingan Formula Satu (F1) pada penghujung musim ini?

Perkhabaran itu bertiup kencang di media sosial apabila dua jenama besar yang sudah bersama sejak 10 tahun lalu tidak akan lagi menjalinkan kerjasama bermula tahun depan.

Pasukan Jerman Mercedes-AMG F1 dikatakan bakal ditaja syarikat gergasi petroleum Arab Saudi, Aramco dan pengumuman lanjut mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jika dilihat kembali sejarah kerjasama antara Petronas dan Mercedes –AMG menyaksikan pasukan terbabit berjaya meraih kejayaan yang cukup gemilang.

Bagaimanapun, setakat ini Petronas masih belum memberi sebarang kenyataan rasmi berkaitan laporan status penajaan pasukan berkenaan.

Untuk rekod, pada musim ini, Mercedes masih mendahului carta pengeluar dengan 433.5 mata manakala Red Bull Racing Honda berada di tangga kedua, 397.5 mata. Berada di tempat ketiga adalah McLaren Mercedes dengan 240 mata.

Sebelum ini, Petronas turut membuat kejutan apabila mengumumkan untuk tidak lagi menaja pasukan Sepang Racing Team (SRT) di Kejuaraan Motosikal Dunia bermula musim depan.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:44pm
d