Permotoran

Kasma Daniel gegar Kuala Terengganu [METROTV]

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin mengungguli Kategori Perdana CP150 Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix Pusingan 4 apabila meraih podium pertama di Litar Permotoran Terengganu dengan catatan masa 16: 30.494 saat (s) petang tadi.

Bekas pelumba Moto2 kelahiran Johor berusia 22 tahun yang memulakan perlumbaan di grid ketiga selepas mencatat masa 48.944s pada sesi 'superpole' menampilkan strategi mantap untuk mengetepikan rakan sepasukannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin yang merakam catatan 16: 30.915s untuk meraih tempat kedua manakala Ahmad Afif Amran daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha- CKJ Racing ketiga dengan catatan masa 16: 30.943s pada perlumbaan 20 pusingan itu.

"Saya hanya menyasarkan untuk berada di podium bagi mengutip mata, bukan tempat pertama, bagaimanapun saya lihat ketika perlumbaan rakan sepasukan ada melakukan sedikit kesilapan pada lap terakhir.

"Jadi saya mengambil peluang untuk memintas rakan sepasukan kerana pencabar di belakang semakin laju, Allhamdulillah strategi saya menjadi dan menang di Kuala Terengganu.

"Saya hadiahkan kemenangan ini kepada keluarga yang banyak memberikan sokongan, rakan sepasukan, kelab dan juga tunang saya orang Terengganu selepas tiga pusingan perlumbaan sebelum ini tidak memihak kepada saya," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlumbaan berkenaan.

Bagi kategori CP125 pula, Md Fareez Afeez Abd Rahman daripada pasukan YYPang Yamaha Racing berjaya meraih tempat pertama.

Ini adalah kejayaan yang pertama bagi Fareez untuk musim ini dan dia yang menduduki tempat kelapan keseluruhan selepas perlumbaan akhir pusingan ketiga berjaya memaparkan kebolehannya untuk bersaing hebat.

Fareez telah mencatatkan 51.608s pada sesi kelayakan. Kepantasan dan kemahirannya di litar teknikal terbukti apabila dia berjaya menempatkan dirinya di grid pertama ketika "shoot-out".

Fareez juga telah menampilkan strategi yang hebat apabila dia berjaya mempertahankan kedudukannya di tempat pertama sepanjang perlumbaan walaupun di cabar hebat pelumba-pelumba lain. Dia menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 13:03.786s.

"Strategi saya hanyalah untuk kekal konsisten sepanjang perlumbaan. Saya berikan perhatian sepenuhnya dan sentiasa memerhatikan masa agar saya dapat mempertahankan kedudukan saya.

"Terima kasih kepada pasukan yang telah bertungkus-lumus untuk kejayaan ini," katanya.

Tempat kedua disambar Md Haziq Md Hamdan daripada pasukan Honda KC Racing dengan catatan masa 13:04.709s dan

tempat ketiga menjadi milik Md Syafiq Rosli daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 13:04.820s.

Hadiah kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Disiarkan pada: June 25, 2022 @ 9:42pm
d