Permotoran

Tengku Djan pertahan kejayaan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Sepang: Tengku Djan Ley menggunakan pengalaman untuk mengungguli kelas Super Sporting dan Rookie pada perlumbaan kedua musim kelima Festival Toyota Gazoo Racing (TGR) 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Tengku Djan yang beraksi bersama pasukan Prima Pearl TD Racing Team, mempamer pemanduan cemerlang mengatasi segala halangan termasuk hujan lebat di awal perlumbaan yang menyaksikan perlumbaan dimulakan di belakang kereta keselamatan.

"Untuk perlumbaan di litar basah, gerak hati seorang pemandu itu sangat penting. Selain itu, kami perlu memahami situasi litar sama ada ada cengkaman dan sebaliknya.

"Bagi saya, Litar Antarabangsa Sepang agak pelik sedikit kerana situasinya berubah-ubah. Jadi kami sebagai pelumba perlu memahami betul-betul mengenai litar ini supaya dapat kepantasan yang dimahukan," katanya yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 33 minit 54.459 saat (s).

Tengku Djan yang juga juara bertahan kelas itu berkata, dia hanya cuba bertenang sepanjang perlumbaan hari ini untuk memastikan dapat meraih podium pertama.

"Saya perlu sentiasa bersabar dan cuba memotong pemandu lain dengan sebaik mungkin," katanya yang gagal menamatkan perlumbaan pertama, semalam.

Tempat kedua menjadi milik Mark Darwin dari pasukan Laser Motor Racing yang ketinggalan 1.761s manakala Hayden Haikal dari Axle Sports meraih podium ketiga apabila ketinggalan 2.435s di belakang Tengku Djan.

Sementara itu, kelas Sporting pula menyaksikan pemandu Axle Sports, Naquib Nor Azlan memenangi perlumbaan kedua dengan catatan masa 30:33.961s.

Pemandu pasukan 23 Motors, Abdul Miqail pula meraih podium kedua dan Tarmimi Tahang dari pasukan M7 Japan Project Team meraih tempat ketiga.

Disiarkan pada: June 26, 2022 @ 5:53pm
d