Permotoran

Bagnaia takluk Litar Assen

Oleh AFP

Assen, Belanda: Pelumba Itali, Francesco Bagnaia memenangi perlumbaan MotoGP Belanda, hari ini, selepas pendahulu kejuaraan, Fabio Quartararo dua kali terbabit kemalangan dan terpaksa menarik diri.

Pelumba Perancis, Quartararo terjatuh dua kali yang disifatkan sebagai 'kesilapan pelumba baru' dan dilihat melepaskan tumbukan ke udara dalam keadaan marah selepas kemalangan kedua.

Manakala Bagnaia bebas daripada masalah sejak awal perlumbaan untuk mencipta kemenangan ketiga musim ini dan merangkul mata penuh selepas gagal menamatkan dua perlumbaan terakhir.

"Saya cukup gembira selepas melalui dua perlumbaan yang sukar," kata pelumba Itali itu.

Pada hari yang ceria bagi pelumba Itali, penunggang Ducati, Marco Bezzecchi menduduki tempat kedua manakala pelumba Sepanyol, Maverick Vinales melengkapkan podium pada perlumbaan ke-11 musim ini.

Quartararo mendahului sebelum rehat musim panas dengan kelebihan 21 mata di depan Aleix Espargaro, yang menduduki tempat keempat perlumbaan hari ini.

Quartararo menduduki tempat kelima dan selepas pusingan ke-13, dia tersingkir ke tempat ke-26 di depan penyokong Belanda yang bersemangat.

Walaupun dia cepat bingkas dan berlumba semula, dia terpaksa menarik diri selepas kemalangan kedua.

Dia berdepan permulaan buruk dan dipintas penunggang Aprilia, Espargaro dan ketika berusaha untuk menduduki tempat kedua semula, jentera Yamaha ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas sebelum dia berlumba semula di tempat terakhir.

"Saya melakukan kesilapan budak sekolah," kata Quartararo dan turut meminta maaf kepada Espargaro kerana menyebabkannya tersasar dari trek pada pusingan kelima.

Disiarkan pada: June 26, 2022 @ 9:57pm
d