Permotoran

Peluang Verstappen padam memori ngeri

Oleh AFP

Silverstone: Setahun selepas kemalangan ngeri, Max Verstappen kembali ke Silverstone sebagai pelumba pilihan untuk meraih kemenangan sulung di Grand Prix (GP) British dan mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan.

Pelumba kelahiran Belanda berusia 24 tahun dan pasukan Red Bull itu berada pada landasan terbaik selepas meraih enam kemenangan berturut-turut, satu daripadanya diraih rakan sepasukan, Sergio Perez di Monaco dan selebihnya oleh Verstappen.

Bagaimanapun, dia perlu berhati-hati dengan pelumba sensasi tuan rumah dan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang bakal memberi cabaran lebih sengit di litar lebih terbuka serta laju itu.

Selepas 10 perlumbaan tanpa kemenangan, pemandu Mercedes berusia 37 tahun itu berusaha untuk mengelak daripada mencatat rekod kemarau paling panjang dalam kariernya.

Di sebalik kekurangan Mercedes akibat prestasi tidak menentu, Hamilton berjaya menduduki tempat ketiga di Kanada dua minggu lalu.

Ahad ini juga akan menyaksikan Hamilton bakal mendapat sokongan daripada 140,000 peminat setempat.

Dalam perlumbaan tahun lalu, kedua-dua pelumba dihimpit dengan insiden di awal pusingan dan pelanggaran kontroversi itu mencetuskan ketegangan antara mereka.

"Kami berharap dapat memberi saingan kompetitif dan menebus kehilangan tahun lalu," kata ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 3:25pm
d