Permotoran

GP China dibatalkan buat kali keempat

Oleh Reuters

Paris: Perlumbaan Grand Prix (GP) China secara rasminya terkeluar daripada kalendar Formula 1 (F1) untuk tahun keempat berturut-turut kerana polisi Covid-19.

"F1 boleh mengesahkan, berikutan dialog dengan penganjur dan pihak berkuasa berkaitan, bahawa GP China 2023 tidak akan berlangsung kerana kesukaran yang berterusan disebabkan oleh situasi Covid-19.

"F1 sedang menilai pilihan alternatif untuk menggantikan slot pada kalendar 2023 dan akan memberikan kemas kini mengenai perkara ini dalam masa terdekat," jelas F1 dalam satu kenyataan.

Perlumbaan di Shanghai itu dibatalkan pada 2020 dan 2021 kerana pandemik global.

Ia dijadualkan kembali tahun ini, tetapi China terus bergelut dengan penularan virus dan perlumbaan itu digantikan oleh GP Emilia Romagna di Imola, Itali.

F1 memasukkan tarikh 16 April untuk Shanghai apabila jadual 2023 dikeluarkan pada September, tetapi China meneruskan dasar toleransi sifar yang ketat untuk cuba membendung penularan virus itu.

Penduduk China mengambil bahagian dalam apa yang disebut CNN sebagai 'tunjuk perasaan yang belum pernah terjadi sebelumnya' di sekurang-kurangnya 19 bandar sepanjang minggu lalu ketika mereka semakin kecewa dengan dasar anti-Covid kerajaan.

Jika F1 tidak menggantikan GP China, akan ada rehat empat minggu antara GP Australia pada 2 April dan GP Azerbaijan yang dijadualkan berlangsung 30 April.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 1:56pm
d