Permotoran

Hafizh Syahrin kekal beraksi di WSBK

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pelumba berpengalaman negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah kekal beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada tahun depan bersama pasukan MIE Racing Honda.

Perkara itu diumumkan pasukannya, hari ini selepas terlebih dahulu mendapatkan khidmat pelumba Brazil, Eric Granado.

Tahun ini menyaksikan penampilan sulung Hafizh bersama MIE Racing Honda di musim pertamanya di WSBK.

Pelumba berusia 28 tahun itu berjaya mengutip mata dalam empat perlumbaan serta melalui kempen yang baik.

"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan lanjutan kontrak dengan Hafizh yang membuat penampilan sulung bersama kami dalam Kejuaraan Superbike Dunia dan menunjukkan peningkatan sepanjang musim ini.

"Saya fikir, dia dan Eric (Granado) akan membentuk gandingan mantap dan berdaya saing, sekali gus membantu kami membangunkan projek bersama Honda dan mempromosikan Kejuaraan WSBK di Amerika Selatan dan Asia, dua kawasan yang sangat strategik untuk sukan permotoran," kata pemilik pasukan, Midori Moriwaki.

Hafizh mengakui gembira dapat kekal bersama MIE Racing Honda pada tahun depan.

"Saya tahu Midori (Moriwaki) sedang berusaha mendapatkan pakej lebih baik untuk musim 2023 manakala saya akan fokus untuk membuktikan kemampuan hasil daripada pengalaman pada tahun pertama dan menyasarkan untuk menamatkan setiap perlumbaan dengan meraih mata.

"Sasaran utama saya adalah menjadi lebih berdaya saing dan bersedia untuk bekerja keras mencapainya," katanya.

Disiarkan pada: December 6, 2022 @ 6:53pm
d