Permotoran

Bagnaia pilihan pertahan juara dunia

Oleh AFP

Paris: Sebelum aksi pembuka tirai MotoGP di Portugal, Ahad ini, juara bertahan, Francesco Bagnaia sudah memberi isyarat bakal menguasai barisan depan.

Juara enam kali Marc Marquez mungkin kembali cergas sepenuhnya, seperti yang ditegaskan oleh pasukannya, Honda namun ujian pra-musim menyaksikan Bagnaia sekali lagi menjadi pelumba terpantas dan bersedia untuk meneruskan penguasaannya sejak musim lalu.

Bagnaia muncul pelumba terpantas dalam ujian pramusim terakhir di Portimao bulan ini di trek yang akan membuka tirai musim ini.

Bekas rakannya, Jack Miller yang kini bersama KTM, melihat prestasi memberangkan Bagnaia pada saingan prammusim adalah impak daripada kejuaraan dunia pertama dimenanginya.

"Tahun ini dia kelihatan lebih matang dan yakin. Tunggangannya juga cukup mengagumkan," kata pelumba Australia itu.

Bagnaia mengakui pasukannya tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka pada sesi ujian pramusim apabila berkata: "Nampaknya kami mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding tahun lalu."

Pesaing utama Bagnaia mungkin datang daripada rakan sepasukannya sendiri, Enea Bastianini, yang menduduki tempat ketiga musim lalu bersama pasukan satelit, Ducati Gresini sebelum berhijrah ke pasukan pengeluar itu.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 9:37am
d