bisnes

RM14.5b tersedia

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

"PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dijangka mempunyai keupayaan untuk mencapai pemulihan pantas impak daripada pandemik Covid-19," kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, ia disokong dengan usaha kerajaan melalui Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Beliau berkata, di bawah Penjana, sejumlah RM35 bilion sudah diperuntukkan merangkumi 40 inisiatif iaitu 24 inisiatif membabitkan RM14.5 bilion akan memberi kesan secara langsung kepada PKS.

Katanya, cabaran kini terletak kepada kepantasan PKS di Malaysia untuk mengguna pakai digitalisasi dalam operasi perniagaan mereka, membangunkan pelan kelangsungan perniagaan serta menguruskan kedudukan aliran tunai.

"Hingga sekarang kita belum mendapat kepastian kesan atau impak sebenar Covid-19 kepada PKS terutama membabitkan perniagaan yang gulung tikar.

"Namun, tidak dinafikan perniagaan PKS yang terbabit dalam sektor pelancongan, pembuatan, pemborongan dan peruncitan antara yang terkesan kepada penularan Covid-19.

"Bagaimanapun, sumbangan PKS kepada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sudah meningkat kepada 38.9 peratus pada tahun lalu berbanding 38.3 peratus yang dicatatkan pada 2018.

"Walaupun kita tidak dapat mencapai sasaran sumbangan PKS kepada KDNK sebanyak 50 peratus pada 2020 namun pertumbuhan PKS mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan sejak 2004 dan saya cukup yakin prestasi ini dapat diteruskan, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan menjelang 2030," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sempena sidang media prestasi PKS kepada ekonomi Malaysia bagi 2019.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Sementara itu, berdasarkan kaji selidik dijalankan oleh SME Corp Malaysia terhadap 982 responden baru-baru ini, 17 peratus daripada PKS yakin bahawa perniagaan mereka mampu pulih di bawah tempoh tiga bulan dipacu inisiatif Penjana.

Rizal berkata, majoriti daripada 17 peratus PKS yang dijangka pulih dalam tempoh terbabit adalah membabitkan sektor makanan dan minuman (F&B).

"Sebanyak 69 peratus daripada responden, terdiri daripada sektor tekstil, pemborongan dan peruncitan berpendapat bahawa perniagaan mereka mampu pulih dalam tempoh tiga hingga 12 bulan.

"Bagi PKS yang terjejas teruk iaitu yang terbabit dalam sektor pelancongan dan sektor yang berkaitan dengannya, kami jangkakan tempoh pemulihan yang akan dicapai lebih dari setahun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 7:00am
    d