bisnes

Moratorium bukan hanya untuk B40

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Pemberian moratorium tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Mereka juga diberi pilihan untuk mengurangkan bayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus.

Malah, pihak bank juga komited untuk memudahkan cara serta memberikan kelulusan automatik sekiranya permohonan dibuat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peminjam yang layak ialah mereka yang kehilangan pekerjaan sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20, penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh.

Katanya, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan.

"Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik.

"Saya ingin tekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium tetapi institusi perbankan turut menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas.

"Mereka juga komited untuk memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan," katanya ketika ditanya mengapa moratorium tidak diberikan kepada semua sebagaimana ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu dalam sidang media secara maya hari ini.

Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh sekatan pergerakan penuh diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

Tengku Zafrul berkata, pengumuman moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam terkesan itu adalah hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank.

"Kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan moratorium yang boleh disediakan oleh bank atau bagaimana ia dilaksanakan.

"Kerajaan tidak mengawal bank. Ini adalah pendirian bank dan BNM mengkoordinasi usaha ini," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 6:08pm
d