bisnes

Izlyn Ramli pengarah baru Yayasan TM

Oleh Bisnes HM

Kuala Lumpur: Yayasan TM (YTM), unit yayasan Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Izlyn Ramli sebagai Pengarah YTM yang baru berkuatkuasa 1 Ogos 2021.

Mengulas mengenai pelantikan Izlyn, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM dan ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) YTM, Imri Mokhtar berkata, sejak tahun 1994, YTM telah menjalankan tugas mulia dengan menyokong impian akademik pelajar berpotensi tinggi di seluruh negara.

"Sebilangan besar pelajar ini telah menjadi pemimpin yang berjaya, termasuklah di TM. Kami percaya bahawa YTM kini bersedia untuk melangkah ke arah peranan yang jauh lebih besar melangkaui biasiswa.

"Melangkah ke hadapan, ia akan menggabungkan pendidikan, pelancongan, budaya dan warisan, serta aktiviti dan sumber Tanggungjawab Korporat (CR) dalam Kumpulan TM.

"Ini juga untuk menyokong fokus TM Baharu (New TM) pada aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perniagaan kami, serta memperkukuhkan lagi aspirasi Kumpulan TM dalam memacu Digital Malaysia," katanya.

Menurutnya, Izlyn membawa kepakarannya dalam bidang komunikasi, penjenamaan, pengurusan pihak berkepentingan dan CR untuk memimpin peralihan strategik ini di YTM.

"Kami menantikan pimpinan beliau dalam menerajui YTM ke tahap yang lebih tinggi dan muncul sebagai sebuah yayasan yang berimpak sosial tinggi yang terkemuka di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Izlyn memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam pelbagai industri termasuklah telekomunikasi, kewangan dan perakaunan, dengan kepakaran dalam Strategi dan Dasar, Pengurusan dan Penglibatan Pihak Berkepentingan, Analisis Kewangan, Komunikasi Strategik dan Krisis, Pengurusan Jenama, Pengurusan Media Sosial dan Digital, Pengalaman Pelanggan, Tanggungjawab dan Kelestarian Korporat.

Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah Naib Presiden, Komunikasi Strategik Kumpulan (GSC), dengan peranan utama menjaga dan mempertingkatkan imej serta reputasi TM, serta menguruskan sebahagian usaha tanggungjawab korporat (CR) Kumpulan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari City University (Cass) Business School, London, dengan pengkhususan dalam Pengurusan Strategik Teknologi dan E-Perniagaan dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi dari University College London.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 1:13pm
d