bisnes

Prudential BSN raih Anugerah Kecemerlangan Gifa (Takaful) 2021

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengendali takaful nombor satu Malaysia, Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN), menerima Anugerah Kecemerlangan Gifa (Takaful) 2021 atas prestasi dan usaha organisasi serta individu dalam mempromosikan dan mengekalkan industri kewangan Islam sebagai alternatif sistem kewangan.

Ia diberikan oleh Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) yang juga pengiktirafan pasaran terkemuka dalam perbankan dan kewangan Islam dunia.

Gifa juga penganugerahan berprestij yang mengiktiraf kerajaan, institusi dan individu yang meraih pencapaian luar biasa dalam bidang masing-masing, menyumbang kepada kemampanan perbankan dan kewangan Islam sebagai sistem berdaya maju dalam seni bina kewangan antarabangsa global.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, anugerah itu amat bermakna bagi pihaknya memandangkan pada masa sama PruBSN sedang meraikan ulang tahun ke-15.

"Berlandaskan komitmen kami untuk menyediakan 'Takaful untuk Semua, untuk Kehidupan' dan dalam membantu masyarakat memanfaatkan kehidupan mereka sepenuhnya, kami akan terus melakukan penambahbaikan dan menjadikan perlindungan takaful lebih mudah diakses oleh semua," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, anugerah itu membuktikan komitmen PruBSN untuk terus memperkenalkan pelbagai perkhidmatan dan produk baharu yang akan mendorong, mempromosikan dan mengekalkan kemampanan industri kewangan Islam.

"Kami percaya masih terdapat jurang dalam pasaran dan banyak potensi untuk kami berkembang maju pada masa hadapan," katanya.

Wan Saifulrizal berkata, secara keseluruhannya, prestasi industri takaful pada tahun lepas menunjukkan kebangkitan semula, dan yakin pihaknya akan dapat terus memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan

Sejajar dengan misi dan tujuan Gifa untuk meneraju industri kewangan Islam, PruBSN memperkenalkan pelbagai penyelesaian takaful untuk memenuhi pelbagai keperluan dan segmen pasaran yang pelbagai.

Terkini, PruBSN melancarkan PruBSN Anggun, penyelesaian khas untuk wanita bagi memenuhi pelbagai keperluan mereka pada setiap peringkat kehidupan.

Menurut PruBSN, penyelesaian itu memberikan perlindungan lengkap termasuk kanser wanita, rawatan kesihatan mental dan manfaat penjagaan kesuburan di mana ia yang pertama seumpamanya di pasaran melalui manfaat tambahan 'Mom Care'.

BSN Takaful Sakinah yang turut diperkenalkan juga akan memberi manfaat kepada golongan B40 dengan menawarkan pelan takaful daripada harga serendah RM55 setahun.

Dalam usaha membudayakan perkhidmatan digital dalam norma baharu, PruBSN memperkenalkan PruBSN Aman, aplikasi berasaskan komuniti takaful digital berkonsepkan rakan kepada rakan di Malaysia yang membolehkan peserta mengamalkan prinsip bantuan bersama.

PruBSN Aman adalah aplikasi dengan konsep unik di mana semakin banyak peserta menyertai komuniti itu, perlindungan dalam kalangan peserta menjadi semakin kukuh.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 1:51pm
d