bisnes

Rakyat, perniagaan dan ekonomi perlu jadi fokus utama 2022 - Tengku Zafrul

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga perkara penting iaitu rakyat, perniagaan dan juga ekonomi perlu diberikan fokus utama pada 2022 bagi menjamin kesejahteraan negara, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, dengan kadar vaksinasi yang tinggi, beliau berharap ia dapat membantu ekonomi Malaysia untuk terus bergerak ke hadapan dan tidak lagi terkesan dengan pandemik Covid-19 seperti sebelum ini.

"Sekarang ada varian baharu tetapi masih tidak diketahui secara detail (terperinci). Jadi harapannya adalah ekonomi negara dapat capai sasaran antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia: Temubual bersama Menteri Kewangan sempena aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul juga berharap semua perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bangkit semula untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, daripada segi kesejahteraan rakyat, kerajaan sudah memperuntukkan RM4.8 bilion untuk menjana 600,000 peluang pekerjaan dalam Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini.

Jelasnya, peruntukan itu adalah bagi mengurangkan kadar pengangguran yang memuncak sejak Mei tahun lalu iaitu pada kadar 5.3 peratus, dengan menyasarkan ia berada di bawah empat peratus pada 2022.

"Saya rasa sasaran penjanaan 600,000 pekerjaan adalah realistik kerana setakat 30 November 2021, kerajaan sudah berjaya mewujudkan hampir 497,000 peluang pekerjaan, iaitu 99.3 peratus daripada sasaran 500,000 tahun ini.

"Untuk tahun depan, kita ada sediakan program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, dan antara inisiatif di bawah program ini adalah 'Malaysia Short-term Employment Programme' (MySTEP0 yang menawarkan kira-kira 80,000 pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya.

Tengku Zafrul berkata, dalam memastikan sasaran itu tercapai, kerajaan turut menyediakan latihan dan peningkatan kemahiran dengan menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan, serta inisiatif insentif penggajian dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang akan memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

Menurutnya, kerajaan juga memberi maklum balas kepada keluhan daripada PMKS dengan memperuntukkan RM14.2 bilion kepada sektor berkenaan dalam Bajet 2022 dengan strategi untuk membina kembali keupayaan dan menyokong pemulihan mereka.

Antara inisiatif yang diumumkan adalah pembiayaan mikro kredit berjumlah RM1.8 bilion melalui pelbagai agensi pelaksana seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (Tekun), Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sementara itu, bagi tempoh 100 hari kementerian itu menjalankan tugas, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah memberi talian hayat kepada 11 juta rakyat Malaysia melalui pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) berjumlah RM8.8 bilion setakat November 2021.

Selain itu, Program Subsidi Upah (PSU) juga memberi manfaat kepada 1.9 juta pekerja serta sejuta PMKS sudah dibantu melalui Geran Khas Prihatin (GKP), katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 1:02pm
d