bisnes

Sunway Malls tumpu wilayah utara [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sunway Malls akan memberi tumpuan ke wilayah utara selepas kejayaan pengembangan Sunway Carnival Mall di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sunway Malls berkata walaupun menghadapi cabaran ekonomi akibat Covid-19, Sunway Carnival Mall telah menggandakan ruang niaganya kepada satu juta kaki persegi dengan 95 peratus ruang telah disewa dan dibuka dengan kadar kepenghunian 80 peratus.

Pengembangan RM500 juta itu menyaksikan peningkatan 60 peratus dalam bilangan kedai kepada 350 kedai berbanding 220 kedai sebelum ini dan kemudahan tempat letak kereta telah ditambah bagi menampung 3,200 kenderaan.

Secara kolektif, langkah ini menghasilkan kesan pengganda ekonomi serta sosial yang ketara dengan mewujudkan 2,000 pekerjaan baharu kepada komuniti setempat, kata kumpulan pusat membeli-belah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema dan Sunway Malls HC Chan berkata Pulau Pinang mempunyai antara tahap pembandaran yang tertinggi di negara ini pada 91 peratus dengan kepadatan penduduk 1,500 orang setiap kilometer persegi.

"Pasarannya yang bersifat perbandaran serta kemampuan yang tinggi memberikan asas-asas yang kukuh dan dengan persekitaran pandemik yang semakin normal termasuk pembukaan semula sempadan antarabangsa, pengembangan ini dibuat pada masa yang agak bersesuaian," kata Chan.

Secara kumulatif, jumlah ruang niaga semasa Sunway Mall adalah 5.3 juta kaki persegi kawasan boleh sewa bersih dengan wilayah tengah mengandungi 70 peratus daripada jumlah ruang niaga kumpulan pusat membeli-belah itu manakala wilayah utara dan selatan masing-masing pada 19 peratus dan 11 peratus.

Kumpulan yang mempunyai tujuh pusat membeli-belah fizikal dalam portfolionya di seluruh Malaysia itu merancang membina dua lagi bangunan yang akan terletak, masing-masing di Pulau Pinang serta di Ipoh.

Dengan beberapa pembangunan yang sedang dirancangkan pada masa akan datang, ruang niaga Sunway Malls dijangka akan bertambah sebanyak 52 peratus kepada 8.0 juta kaki persegi kawasan bersih yang boleh disewa.

Sebaliknya, wilayah utara akan menyaksikan ia menduduki 38 peratus daripada jumlah ruang runcit kumpulan pusat membeli-belah pada masa akan datang.

Bersempena dengan ini, kumpulan pusat membeli-belah itu dijangka akan mengembangkan asetnya kepada 12 pusat membeli-belah fizikal dalam tempoh lima tahun lagi.

Sementara itu, Chan berkata Sunway Carnival Mall telah menjadi salah satu pusat membeli belah yang pertama di rantau ini yang dianugerahkan penarafan Green Mark Gold Plus.

"Penarafan ini diberikan kepada pusat membeli-belah itu disebabkan amalan penggunaan fasiliti penjimatan tenaga secara aktif selain menawarkan kemudahan dan keselamatan kepada pengunjung.

"Pusat membeli-belah ini juga menyediakan bilik tenang, dinamakan Autosome Room, yang mempunyai ciri pengecaman identiti wajah untuk keselesaan kepada mereka yang mempunyai autisme termasuk ahli keluarga mereka," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 5:38pm
d