bisnes

TNB: Mekanisme ICPT semasa kekal sehingga 31 Disember

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) akan terus dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini, menurut Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ia seiring dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

"Keputusan tersebut akan menangani peningkatan ketara kos penjanaan berikutan harga bahan api yang lebih tinggi untuk membekalkan elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun, 2022," menurut TNB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Gergasi utiliti itu turut menjelaskan bahawa impak pelaksanaan ICPT adalah neutral ke atas TNB dan tidak akan memberi sebarang impak terhadap operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya.

Surcaj tarif elektrik bagi pengguna domestik pada masa ini kekal pada 3.7 sen per kilowatt jam (kWh) dengan rebat dua sen per kWh tanpa sebarang surcaj, manakala pengguna bukan domestik daripada sektor komersial dan industri akan dikenakan surcaj 3.7 sen per kWh.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 9:48pm
d