bisnes

Kerjasama bangunkan bakat kewangan Islam secara global

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) komited melahirkan lebih ramai perancang kewangan Islam bertauliah melalui salah satu pensijilan utama IBFIM iaitu Program Eksekutif Perancangan Kewangan Islam (IFP).

Selaras dengan aspirasi Pelan Sektor Kewangan 2022 ke 2026 bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan profesional dan pembangunan modal insan, IBFIM bekerjasama dengan Lembaga Piawaian Perancangan Kewangan (FBSB) Indonesia dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM).

IBFIM menerusi kenyataan berkata, program yang berlangsung selama 12 minggu dan dijalankan secara maya itu berjaya melahirkan 52 perancang kewangan Islam yang berkelayakan terdiri daripada profesional perbankan, pengamal insurans dan ahli akademik dari 27 wilayah di seluruh Indonesia.

"Anugerah diadakan baru-baru ini, di Jakarta, Indonesia. Sejak dilancarkan, program terbabit sudah menarik penyertaan dari Brunei, Singapura dan kini Indonesia.

"Sehingga kini, IBFIM menghasilkan hampir 2000 perancang kewangan Islam bertauliah.

"Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan IBFIM bagi memperkasa pembangunan modal insan kewangan Islam di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Selain itu, IBFIM juga bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan antarabangsa antaranya Kementerian Luar Negeri Malaysia (KLN), Cambridge Institute for Sustainability Leadership (CISL), United Kingdom dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Brunei.

Ia melalui pelbagai program latihan dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja serta menjadikan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa untuk kewangan Islam.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 4:19pm
d