bisnes

Agihan pendapatan ASB 3 Didik, 4.25 sen seunit

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) berjumlah RM300 juta, bersamaan 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

Agihan pendapatan ASB 3 Didik itu turut dimanfaatkan 308,197 pemegang unit yang kini memiliki 7.06 bilion keseluruhan unit.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam kenyataan berkata, sehingga 24 Jun 2022, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM412.65 juta.

"Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 bulan Maybank pada 1.89 peratus sebanyak 236 mata asas.

"Pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya.

Selain itu, pelaburan antarabangsa juga masih menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan sebanyak 23 peratus dan kekal lebih 20 peratus daripada keseluruhan portfolio.

Walaupun pasaran menghadapi pergolakan dan ancaman inflasi, PNB kekal teguh dalam memajukan kesejahteraan pemegang unit dengan mengagihkan pulangan yang mampan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana terbabit.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2022.

Sementara itu, urus niaga ASB 3 Didik ditangguhkan buat sementara waktu di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet dari 23 hingga 30 Jun 2022.

Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Julai 2022.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 4:51pm
d