bisnes

Lahir 'Jedi' saham

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

KEGAGALAN menguasai ilmu analisis teknikal jual beli saham dilihat faktor utama mengapa ramai pelabur tidak mampu bertahan lama biarpun semakin ramai menyertainya, didorong pulangan lumayan.

Menyedari situasi itu, Jedi Traders Academy (JTA) yang diasaskan sejak 2018 berhasrat melahirkan lebih ramai 'Jedi' atau pakar dalam bidang berkenaan baik dalam pasaran tempatan mahupun global.

Namun tidak hanya menawarkan kemahiran menguasai aspek teknikal ketika melakukan jual beli saham, JTA menurut pengasasnya, Abdul Razak Abu Bakar berhasrat memberi pengalaman berbeza kepada pelabur.

Menurutnya, pelabur akan dibimbing untuk menjalankan aktiviti jual beli mereka menerusi penggunaan perisian JATZ, yang dibangunkan secara eksklusif oleh akademi itu sendiri.

"Perisian JATZ memudahkan kerja analisis carta dalam urus niaga. Rata-rata pelabur kini menggunakan Software JATZ dalam urusan harian jual beli mereka yang terbukti sangat memudahkan.

"Menerusinya, pelabur tidak perlu mengambil masa yang banyak untuk menjalankan transaksi," katanya yang bukan saja membimbing pelabur baharu, tetapi juga yang berpengalaman.

Kata Abdul Razak, baik menerusi program bimbingan mingguan secara percuma mahupun bermusim, ramai yang sudah berkongsi manfaat menerusi penyertaan mahupun penggunaan JATZ sebagai alternatif kepada pendapatan tambahan.

"Program Celik Saham yang sudah berlangsung pada Mei lalu menghimpun lebih 500 pelabur baharu dan dijangka lebih ramai lagi yang akan mengikuti program ini pada September nanti," katanya.

JTA menerusi Program Celik Saham Edisi Merdeka yang diadakan sepanjang Ogos dan September ini bakal memberi peluang kepada peserta yang ingin mengintai peluang mempelajari cara meneroka peluang melakukan urus niaga di pasaran global.

"Bimbingan melalui program mingguan secara percuma termasuk mengenali platform yang boleh digunakan untuk mula berurusniaga dengan modal mampu milik pasti amat membantu khususnya kepada mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.

"Tidak hanya mengikuti program percuma, JTA komited mengelolakan sesi khas bagi mereka yang benar-benar serius dalam Celik Saham Edisi Merdeka nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:00am
d