bisnes

Sasar perolehan naik 20% menerusi Oishii Japan

RANTAIAN francais makanan halal Malaysia, Marrybrown menyasarkan peningkatan perolehan sebanyak 20 peratus menerusi jualan menu baharu Oishii Japan.

Pengarah Antarabangsa Marrybrown Kairul Azman berkata, kempen yang mengetengahkan cita rasa Jepun itu akan berlangsung mulai hari ini dan sehingga 7 Ogos 2022.

"Setiap kali kita mengadakan kempen yang kita panggil tawaran bagi tempoh terhad ini lazimnya kita menyasar untuk mencapai sekurang-kurangnya peningkatan 20 peratus dari segi jumlah perolehan.

"Sebab itu kita memperkenalkan kempen besar, pengumuman besar dan sebagainya," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran menu baharu Oishii Japan di sebuah pusat beli-belah sini, Rabu lalu.

Marrybrown adalah jenama makanan yang mengetengahkan ayam goreng sebagai produk utama.

Ketika ditanya mengenai masalah bekalan ayam yang melanda negara, baru-baru ini, Kairul berkata, pihaknya sentiasa peka dengan perkembangan dalam pasaran dan membuat persiapan awal bagi mengelakkan operasi harian seluruh cawangannya terganggu.

"Kami sedar bahawa produk teras kami ialah ayam. Oleh itu, kami sentiasa peka melalui pasukan logistik, pembekalan dan sebagainya, sebelum perkara seperti itu (masalah bekalan) berlaku, kami sudah diberi maklum lebih awal untuk membuat persiapan termasuk bagaimana untuk dapatkan bekalan tambahan," katanya.

Beliau berkata, tambahan pula jualan akan meningkat mendadak di Malaysia pada musim cuti sekolah, perayaan dan sebagainya.

"Jadi, kami perlu ada persiapan untuk tempoh sebegini, alhamdulillah setakat ini kami belum lagi mengalami kekurangan bekalan dan sebagainya," katanya.

Kairul berkata bagi 2022, Marrybrown menyasarkan pembukaan sebanyak 50 cawangan baharu setelah sasaran asal sebanyak 30 cawangan hampir dicapai.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 7:05am
d