bisnes

Guna akta untuk luluskan sebahagian Bajet 2023

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan boleh menggunakan Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan kelulusan sebahagian Bajet 2023 bagi memastikan kesinambungan program kerajaan pada tahun depan, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.

"Bajet 2023 perlu dibentangkan semula untuk memastikan kerajaan terus beroperasi menjelang Januari 2023.

"Satu perkara yang kita perlu ketengahkan adalah keadaan seperti ini pernah berlaku pada 1999 apabila parlimen dibubarkan sebelum belanjawan dibahaskan sepenuhnya dan diluluskan.

"Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan membolehkan kita mendapatkan kelulusan bagi bahagian pertama belanjawan agar perbelanjaan (pembangunan) dapat diteruskan, manakala belanjawan penuh boleh mendapatkan kelulusan kemudiannya," katanya kepada Bernama di luar majlis Forum Tinjauan Perniagaan Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti 2022, hari ini.

Perkara 102(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa parlimen hendaklah mempunyai kuasa, berkenaan dengan mana-mana tahun kewangan sebelum meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan, untuk membenarkan perbelanjaan menerusi undang-undang bagi sebahagian tahun itu.

Bajet 2023 Malaysia yang berjumlah RM372.3 bilion dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz di Parlimen pada Jumaat, 7 Oktober 2022.

Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Disiarkan pada: October 19, 2022 @ 6:11pm
d