bisnes

Laba pertama dengan untung bersih AS$4.7 bilion

Geneva: Syarikat penerbangan global diunjur mencatatkan keuntungan pertama tahun depan dengan keuntungan bersih AS$4.7 bilion sejak pandemik melanda, memandangkan syarikat terus pulih dan mengurangkan kerugian walaupun ketidaktentuan ekonomi semakin meningkat, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam kenyataan berkata, pihaknya juga menjangkakan syarikat penerbangan global akan merekodkan keuntungan bersih sebanyak AS$4.7 bilion, margin keuntungan bersih 0.6 peratus, terutama disumbangkan oleh syarikat penerbangan Amerika Utara, yang didapati merealisasikan keuntungan mereka pada 2022.

Persatuan itu menambah, kerugian bersih syarikat penerbangan dijangka lebih rendah bagi 2022, dianggarkan berjumlah AS$6.9 bilion, lebih baik berbanding AS$9.7 bilion yang diunjurkan pada Jun dan meningkat secara ketara daripada kerugian AS$42 bilion dan AS$137.7 bilion masing-masing pada 2021 dan 2022.

"Keuntungan AS$4.7 bilion daripada perolehan industri sebanyak AS$779 bilion juga menggambarkan bahawa terdapat banyak lagi asas yang perlu ditangani untuk meletakkan industri global pada kedudukan kewangan yang kukuh," kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh.

Beliau berkata demikian semasa sesi pembentangan bertajuk 'Unjuran bagi Penerbangan' pada Hari Media Global IATA yang berlangsung baru-baru ini.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 7:49am
d