bisnes

Bantu usahawan asnaf tambah pengetahuan

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) menjalin kerjasama strategik menerusi Perjanjian Kerjasama Dalam Pelaksanaan Program Pemangkin Usahawan Asnaf (Pemangkin) dengan Public Islamic Bank Berhad (PIBB) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).

Ia untuk membantu usahawan asnaf menambah pengetahuan dan meningkatkan perniagaan mereka.

Program Pemangkin ini selari dengan program kewangan sosial di bawah inisiatif iTekad yang diterajui Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kolaborasi rentas agensi dan kementerian bagi membantu memantapkan ekosistem keusahawanan melalui pelbagai program latihan serta bimbingan.

Beliau berharap lebih banyak kerjasama dalam membantu usahawan di seluruh Malaysia dapat diwujudkan.

"Insken, PIBB dan Maiwp menyasarkan Program Pemangkin yang bakal membelanjakan lebih RM200,000 ini dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun dan amat yakin melalui pemeteraian perjanjian terbabit, usahawan asnaf tidak akan ketinggalan dalam kesemua sudut bidang keusahawanan.

"Golongan ini juga akan lebih maju dan turut dapat menyumbang kepada ekonomi negara," katanya dalam kenyataan.

Objektif utama kerjasama ini adalah sebagai inisiatif untuk membantu usahawan asnaf menambah pengetahuan perniagaan seperti prosedur perniagaan, meningkatkan tahap kemajuan perniagaan dalam kalangan usahawan asnaf ke tahap yang lebih tinggi.

Disiarkan pada: May 23, 2023 @ 7:48am
d