bisnes

Guru, pensyarah jutawan terbaharu BSN

Kuala Lumpur: Guru dan pensyarah menjadi jutawan terkini melalui kempen Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) pada tahun ini.

Ia sekali gus menjadikan seramai 87 jutawan dihasilkan sejak ganjaran RM1 juta diperkenalkan.

Pemenang bagi kategori Cabutan Jutawan bulan Mac dan April lalu itu sudah diumumkan pada Majlis Cabutan BSN SSP di Ipoh, Perak dan yang terbaharu diumumkan di Melaka.

Jutawan ketiga BSN SSP 2023 adalah seorang guru yang kini berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau yang berusia 54 tahun dan berasal dari Kulim, Kedah mula menyimpan dalam BSN SSP sejak 2013.

Jutawan keempat BSN SSP 2023 pula berusia 73 tahun dan berasal dari Batu Gajah, Perak dan mula menyimpan dalam BSN SSP sejak 1994.

Pensyarah universiti tempatan itu adalah pelanggan setia BSN yang tidak pernah menyangka rezeki bergelar jutawan BSN SSP akan berpihak kepadanya.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, seramai 87 individu bergelar jutawan melalui BSN SSP setakat April lalu.

"Sembilan daripada mereka adalah guru termasuk seorang pesara guru yang baru sahaja dinobatkan sebagai jutawan BSN SSP bagi Januari lalu.

"Pencapaian pendidik ini adalah bukti keberkesanan BSN SSP sebagai platform simpanan inklusif yang memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

"Kami menggalakkan guru merebut peluang ini, memanfaatkan potensi BSN SSP untuk memupuk tabiat menabung sambil berpeluang memenangi pelbagai hadiah hebat," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pada tahun ini juga, BSN memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM27 juta untuk lebih 18,000 pemenang.

"Cabutan Jutawan BSN SSP juga ditambah baik yang mana, selain seorang pemenang bakal membawa pulang BSN SSP RM1 juta pada setiap bulan, pemenang bulan Disember 2023 bakal memenangi hadiah BSN SSP RM1 juta berserta sebuah kereta BMW X5 untuk dibawa pulang," katanya.

Katanya, BSN SSP juga menawarkan kebaikan tiga dalam satu iaitu menyimpan, menang dan peroleh kadar keuntungan simpanan yang menarik sehingga 2.4 peratus setahun melalui BSN SSP Platinum.

Sehingga April 2023, jumlah simpanan BSN SSP sudah mencecah RM5 bilion, dan lebih

RM1.2 billion telah dicatatkan untuk simpanan baharu.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 3:27pm
d