bisnes

Brahim's Outdoor sasar jualan RM5 juta setahun

Oleh Amir Abd Hamid

Petaling Jaya: Brahim's Outdoor mensasarkan RM5 juta jualan setahun menerusi produk baharu Travelicious Meals yang mulai memasuki pasaran dalam talian sejak 1 Mei lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Brahim's Dewina, Nur Fatin Ibrahim berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan iaitu kira-kira 30 peratus daripada jualan dalam taliannya bulan lalu adalah daripada Travelicous Meals.

Beliau berkata, terdapat 13 variasi Set Makanan Travelicious yang dilengkapi dengan elemen pemanas yang boleh dipilih dan dinikmati sebagai 'hidangan panas' ketika aktiviti di luar.

Katanya, antara pilihan set termasuk nasi putih 150 gram (g) dan sambal daging 140g, pulut kuning 150g dan rendang ayam 120g serta nasi dagang 150g dan gulai ikan tongkol 140g.

"Harga bagi set makanan Travelicious adalah antara RM16.49 hingga RM20.99 bergantung kepada jenis set makanan," katanya dalam sidang media di reruai Brahim's yang turut dibuka sempena Outdoor Expo Malaysia 2023 bermula 2 hingga 4 Jun di Kompleks Sukan Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran Kanan Dewina Trading Sdn Bhd, Fazil Othman.

Nur Fatin berkata, set makanan Travelicious Meals memudahkan penggunanya untuk menikmati hidangan mereka tanpa kesulitan membawa dapur untuk memanaskan makanan.

"Setiap bungkusan set makanan Travelicious Meals mengandungi satu bungkusan nasi sedia dimakan 150g, satu bungkusan hidangan lauk sedia dimakan 120g hingga 140g, satu bungkusan elemen pemanas serta satu set sudu dan garfu.

Untuk rekod, Brahim's Outdoor adalah program yang ditubuhkan pada November 2017 menawarkan pelbagai pengalaman aktiviti outdoor yang mendebarkan dan menyeronokkan.

Manakala Ekspo Outdoor Malaysia 2023 adalah pameran perdagangan yang memberi tumpuan kepada sukan dan rekreasi luaran.

Sehingga kini, Brahim's Outdoor mempunyai kira-kira 3,000 ahli.

Travelicious meals boleh didapati di semua platform jualan dalam talian.

Disiarkan pada: June 2, 2023 @ 8:33pm
d