bisnes

Elak jadi liabiliti kepada negara

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Isu hartanah tidak terjual, khususnya kediaman yang siap dibina, boleh menjadi beban ekonomi kepada negara jika tidak diatasi dengan kaedah sewajarnya.

Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, hartanah tidak terjual merujuk kepada unit kediaman, komersial dan industri yang siap dibina dengan mendapat sijil penyiapan dan pematuhan, tetapi masih tidak dapat dijual melebihi tempoh sembilan bulan daripada tarikh dilancarkan atau selepas 1 Januari 1997.

Bernama pada 14 April lalu melaporkan, jumlah kediaman siap dibina tidak terjual berkurangan kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada akhir Disember tahun lalu berbanding 36,863 unit bernilai RM22.79 bilion pada penghujung 2021.

Dalam laporan itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Johor kekal merekodkan jumlah dan nilai kediaman tidak terjual tertinggi, iaitu 5,258 unit bernilai RM4.33 bilion, diikuti Selangor dengan 3,698 unit bernilai RM2.74 bilion dan Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion).

Penganalisis hartanah, Prof Dr Noor Rosly Hanif berkata, isu lambakan hartanah tidak terjual berlaku sejak 2016, merentasi pelbagai kategori hartanah.

"Pada waktu itu, keadaan ekonomi sangat memberangsangkan sehingga menggalakkan pemaju untuk membangunkan hartanah. Namun malangnya, kadar kenaikan gaji dan pendapatan isi rumah tidak setara dengan peningkatan harga hartanah, khususnya rumah.

"Dalam hal ini, ketidaksepadanan nilai hartanah yang dibina (penawaran) dengan kemampuan rakyat (permintaan) menjadi punca utama berlakunya perkara ini (lambakan hartanah tidak terjual)," katanya.

Noor Rosly yang juga profesor Program Pengurusan Hartanah dan Lelong, Fakulti Perniagaan, Universiti Malaya-Wales berkata, walaupun wujud permintaan untuk kediaman, harga yang ditawarkan pemaju tidak mampu dipenuhi oleh pembeli berpotensi yang turut sukar mendapat pinjaman bank berikutan kedudukan kewangan tidak menepati syarat.

"Jenis hartanah yang dibina oleh pemaju pula bukanlah yang diperlukan oleh pasaran. Sebagai contoh, rakyat mengharapkan rumah teres (bertanah) pada harga mampu milik, tetapi pemaju kebanyakannya membina kondominium/pangsapuri yang menurut Laporan Pasaran Harta 2022, Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH), adalah penyumbang terbesar kepada hartanah tidak terjual, iaitu 61.9 peratus.

"Faktor cita rasa rakyat turut memberi kesan, lebih-lebih lagi golongan muda yang kurang berminat membeli rumah sebaliknya memilih untuk menyewa. Mungkin mereka terpaksa menerima realiti untuk tinggal menyewa atau tunggu lewat umur baru fikir nak beli rumah. Itupun jenis bertingkat seperti pangsapuri yang sesuai dengan kemampuan mereka," katanya, menambah situasi itu adalah trend semasa.

Berdasarkan Laporan Pasaran Harta 2022, hartanah dalam lingkungan harga RM500,001 hingga RM1 juta adalah paling banyak tidak terjual, mewakili 33.6 peratus atau 9,323 unit, iaitu meningkat berbanding 30.2 peratus pada 2021.

Hartanah dalam lingkungan RM300,001 dan RM500,001 pula di tempat kedua, merangkumi 29.3 peratus (8,128 unit), manakala rumah dalam lingkungan harga mampu milik bawah RM300,000 membentuk 23.5 peratus (6, 509 unit), diikuti oleh hartanah lingkungan harga melebihi RM1 juta yang menyumbang 13.6 peratus (3,786 unit).

Menurut Noor Rosly, purata kemampuan rakyat adalah rumah berharga sekitar RM250,000 hingga RM300,000.

"Disebabkan itulah terdapat mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi sanggup membeli rumah di Seremban, Negeri Sembilan kerana kediaman di luar Kuala Lumpur harganya lebih rendah dan mereka masih dapat memiliki rumah teres setingkat pada harga sekitar RM250,000," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 9:44am
d