bisnes

Bank Rakyat diiktiraf jenama paling pesat berkembang

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance.

Menurut laporan Brand Finance Malaysia 100 2023, Bank Rakyat mendahului jenama perbankan yang lain dengan mencatatkan peningkatan dua digit dalam nilai jenama sebanyak 49 peratus kepada US$382.73 juta.

Memetik kenyataan dikeluarkan Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pasifik Alex Haigh, beliau berkata Bank Rakyat adalah jenama paling pesat berkembang di Malaysia dalam penilaiannya melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-25 berbanding tahun lepas menjadikannya jenama perbankan dengan penarafan 'AA'.

"Bank Rakyat menyaksikan pendapatan operasi terasnya meningkat sebanyak 3.42 peratus kepada RM5.90 bilion di akhir 2022 daripada RM5.71 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dalam kedua-dua segmen runcit dan perniagaan yang turut menyumbang kepada peningkatan dalam nilai jenamanya.

"Pertumbuhan berterusan ini didorong terutamanya oleh peningkatan positif pembiayaan kasar dan pertumbuhan bersih aset perbendaharaan selari dengan strategi kumpulan sepanjang tahun," kata Haigh.

Menurut Bank Rakyat, pencapaian memberangsangkan itu adalah hasil pendekatan dan inisiatif pengukuhan jenama bank melalui pelaksanaan perancangan pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25).

"Enam rangka tindakan yang menjadi fokus BR25 termasuk digitalisasi, pengalaman pelanggan terbaik, kelestarian, modal insan, perniagaan SMEC (mikro, perusahaan kecil dan sederhana dan koperasi) serta kepimpinan Shariah," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 12:52pm
d