bisnes

Capai 98 peratus liputan air bersih dan pembetungan menjelang 2025

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berada di landasan tepat untuk mencapai 98 peratus liputan air bersih dan pembetungan di kawasan luar bandar menjelang akhir 2025, kata Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata setakat ini, liputan akses bekalan air di bandar dan luar bandar mencapai 97.1 peratus, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 84.4 peratus di empat bandar utama.

"Sememangnya industri air ini satu industri yang dinamik. Maka sebab itu kementerian (PETRA) apabila meneliti dari segi apa yang telah dilaksanakan dan dalam progres (kemajuan), kita menjangkakan kita boleh mencapai 98 peratus untuk melakukan peningkatan dalam tempoh dua tahun inilah.

"Ini memerlukan koordinasi daripada semua pihak yang terlibat, juga dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat air dan juga pihak kerajaan-kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Ekspo dan Forum ASIAWATER 2024 di sini hari ini.

Hadir sama Penasihat ASIAWATER Datuk Teo Yen Hua dan Presiden Persatuan Air Malaysia Mohmad Asari Daud.

Akmal Nasrullah berkata inisiatif berkenaan selaras dengan matlamat utama Malaysia MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat sambil menyokong matlamat keenam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6) iaitu memastikan ketersediaan dan pengurusan air dan sanitasi yang mampan untuk semua.

Beliau berkata Perlis, Kedah dan kelantan merupakan antara negeri yang dikesan mempunyai tahap air tidak terhasil (NRW) yang tinggi disebabkan air mengalir keluar apabila berlaku paip bocor yang menyukarkan penyaluran bekalan air bersih kepada pengguna.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah menerusi ucapan yang dibacakan bagi pihak Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata PETRA sedang menumpukan terhadap empat inisiatif utama sebagai usaha memastikan bekalan air berterusan dan mencukupi, khususnya di kawasan terjejas kemarau.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, PETRA mesti menjamin masa depan air yang boleh dipercayai dengan perancangan strategik, membangunkan infrastruktur air dan menangani kemampanan kewangan pengendali air, mengoptimumkan operasi di seluruh industri air serta membina ketahanan ke arah penyesuaian terhadap perubahan iklim dalam sistem air.

Sementara itu, Teo berkata ASIAWATER 2024 merupakan acara utama untuk membangunkan Asia, memupuk pertukaran pengetahuan, mempamer kemajuan serta membentuk perkongsian penting bagi menangani cabaran pengurusan air.

Bertemakan "Water Transformation and Climate Change: Innovation for Resilience," ekspo dan forum tiga hari yang bermula hari ini menarik kehadiran lebih 20,000 peserta perdagangan dan profesional industri dari 61 negara.

Disiarkan pada: April 23, 2024 @ 5:11pm
d