global

Susu ibu menjadi penawar Covid-19?

Oleh Agensi

Beijing: Susu ibu dipercayai dapat mencegah atau merawat Covid-19, menurut kajian baharu oleh saintis China.

Pasukan penyelidik di Beijing menguji kesan susu ibu pada sel yang terdedah kepada virus Sars-CoV-2.

Portal South China Morning Post melaporkan susu itu dikumpulkan pada 2017 sebelum bermulanya pandemik dan jenis sel yang diuji bervariasi dari sel ginjal haiwan hingga sel paru-paru dan usus manusia muda.

Hasilnya, kebanyakan strain virus hidup dibunuh oleh susu berkenaan.

"Susu ibu menyekat virus, kemasukan dan replikasi virus awal," kata pasukan yang diketuai oleh Profesor Tong Yigang dari Universiti Teknologi Kimia Beijing yang menulis kajian disiarkan di biorxiv.org.

Penyusuan susu ibu sebelum ini dilihat meningkatkan risiko penularan virus.

Di Wuhan, lokasi virus pertama kali dikesan, bayi yang baru lahir dipisahkan dari ibu yang positif dan diberi makan secara eksklusif berdasarkan formula, menurut laporan media China dari Februari.

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat juga mengingatkan bayi yang disusui ibu yang disyaki atau disahkan membawa Covid-19 juga harus dilihat sebagai pembawa 'suspek'.

Tetapi kajian terbaru menyokong kenyataan rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ibu harus terus menyusui walaupun mereka dijangkiti Covid-19.

Badan kesihatan global itu mengesan 46 pesakit Covid-19 menyusukan anak mereka di beberapa negara hingga bulan Jun.

Gen virus dikesan dalam susu ibu tetapi tiada bukti jangkitan berlaku.

Hanya seorang anak yang diuji positif dan penularan melalui cara lain.

Tong dan rakan mencampurkan beberapa sel yang sihat dalam susu ibu, kemudian mencuci dan mendedahkannya kepada sel virus.

Mereka mendapati hampir tiada ikatan virus masuk ke sel ini dan rawatan juga menghentikan replikasi virus pada sel yang sudah dijangkiti.

Mereka menyimpulkan jangkitan itu dapat dimusnahkan oleh susu ibu, yang sudah diketahui memiliki efek penekan pada bakteria dan virus seperti HIV.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 29, 2020 @ 10:09am
    d