Afrika

Haiti minta bantuan Washington, PBB

Oleh AFP

Port-au-Prince: Haiti meminta bantuan Washington dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar tentera bagi menjaga keselamatan pelabuhan, lapangan terbang dan lokasi strategik lain selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise.

Permintaan bantuan daripada Amerika Syarikat dan PBB itu dinyatakan Menteri Pilihan Raya, Mathias Pierre.

Menurutnya, susulan permintaan itu, AS berkata, pihaknya akan menghantar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan ejen lain ke Port-au-Prince, dua hari selepas Moise dibunuh dengan kejam oleh lelaki bersenjata di kediamannya.

"Kami berpendapat bahawa tentera upahan boleh memusnahkan beberapa infrastruktur untuk menimbulkan kekacauan di negara ini.

"Dalam perbualan dengan Setiausaha Negara AS dan PBB, kami membuat permintaan ini," katanya.

Jabatan Negara AS dan Pentagon bersama-sama mengesahkan bahawa mereka ada menerima permintaan untuk bantuan keselamatan dan siasatan, menyatakan bahawa pegawai sentiasa berhubung dengan Port-au-Prince, tetapi tidak memberitahu sama ada akan mengerahkan tentera ke sana.

Washington menunjukkan kesediaannya untuk membantu dalam siasatan Haiti, dan jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki semalam berkata, ejen kanan FBI dan pegawai lain akan ke Caribbean secepat mungkin.

Orang ramai dilihat kembali ke jalanan dengan kedai dibuka dan pengangkutan awam kembali beroperasi pada pagi semalam.

Sementara itu, polis berkata, 28 anggota pasukan Colombia dan Amerika melakukan serangan itu tetapi mereka masih mencari dalangnya.

Pegawai kanan polis, yang bertanggungjawab secara langsung bagi keselamatan Moise, sudah dipanggil untuk hadir di mahkamah.

Disiarkan pada: July 10, 2021 @ 11:49am
d