Afrika

Suspek cuba bunuh pemimpin junta Mali, mati dalam tahanan

Oleh AFP

Bamako: Seorang lelaki didakwa selepas disyaki cuba membunuh pemimpin junta Mali, Assimi Goita iaitu dalang di sebalik dua rampasan kuasa dalam tempoh kurang setahun, meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Suspek, yang identitinya belum didedahkan ditahan berikutan cubaan bunuh yang dilakukan selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Besar Bamako.

"Ketika dalam tahanan, kesihatannya merosot dan kemudian dimasukkan ke hospital, tetapi malangnya sudah meninggal dunia", kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Menurut wartawan AFP di tempat kejadian pada hari Selasa, Goita diselamatkan daripada seorang lelaki bersenjatakan pisau yang menghalakan pisau ke arahnya.

Pemimpin itu kemudian muncul di siaran televisyen nasional dengan memaklumkan bahawa dia dalam keadaan sihat dan tidak menganggap insiden itu perkara yang serius.

"Itu sebahagian daripada cabaran menjadi pemimpin, sering kali ada yang ada berasa tidak senang.

"Akan ada individu yang pada bila-bila masa cuba menimbulkan ketidakstabilan," katanya.

Pihak pendakwaan Mali sudah membuka siasatan berhubung insiden itu.

Sementara itu, kerajaan mengarahkan proses bedah siasat dilakukan bagi mengenalpasti punca kematian suspek.

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 10:26am
d