Afrika

Tikam isteri depan tiga anak

Oleh Agensi

Kaherah: Seorang lelaki yang juga doktor gigi di Mesir didakwa membunuh isterinya dengan menikam mangsa sebanyak 11 kali.

Lebih menyayat hati apabila tiga anak mereka turut menjadi saksi insiden berkenaan.

Gulf News memetik laporan media tempatan melaporkan, insiden itu berlaku di kampung Shawa dekat Dakahlia yang terletak di utara Mesir.

Dr Magdy Abdul Hadi dan isterinya, Dr Yasmine Hassan Suleiman dikatakan bertengkar sehari selepas Hari Raya Aidiladha.

Suspek dikatakan mengambil pisau seterusnya menikam isterinya hingga mati di atas lantai dalam keadaan berlumuran darah.

Penduduk setempat turut bersedih, malah terkejut dengan pemergian Dr Yasmine yang maut di hadapan tiga anaknya.

Siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa berlaku perselisihan antara pasangan itu sebelum si suami bertindak menikam isterinya.

Salah seorang jiran memberitahu polis, ketika kejadian, dia mendengar jeritan dan tangisan anak mangsa.

Polis tiba di tempat kejadian dan merampas pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

Suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian dan kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 10:26am
d