Afrika

Kapal karam, lebih 100 dipercayai maut atau hilang

Oleh AFP

Kinshasa: Lebih 100 orang dipercayai maut atau hilang dalam kejadian kapal karam di sungai Congo, menurut pihak berkuasa wilayah di Republik Demokratik Congo.

Jurucakap Gabenor wilayah barat laut Mongala, Nestor Magbado berkata, 51 mayat sudah ditemukan dan 69 lagi dipercayai hilang, sejak kapal itu tenggelam pada malam Selasa lalu.

Beliau berkata, oleh kerana tidak terdapat maklumat mengenai penumpang dan terdapat seramai 39 yang terselamat, jumlah yang hilang adalah anggaran berdasarkan kapasiti kapal.

"Kapal itu sebenarnya adalah sembilan sampan kayu tradisional yang semuanya diikat bersama, dikenali sebagai pirogues.

"Kemalangan itu mungkin disebabkan oleh kesesakan muatan orang ramai dan akibat cuaca buruk pada waktu malam," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat diteruskan, tetapi harapan mencari lebih ramai mangsa terselamat agak sukar.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 8:39am
d