Afrika

Operasi penerbangan di La Palma kembali pulih

Oleh AFP

Madrid: Penerbangan ke dan dari La Palma di Kepulauan Canary, Sepanyol yang ditunda berikutan penutupan lapangan terbang selama 48 jam kerana abu gunung berapi disambung semula pada Sabtu.

Perkara itu disahkan oleh syarikat penerbangan dan pihak berkuasa lapangan terbang dalam satu kenyataan.

Abu tebal dari gunung berapi memaksa penutupan lapangan terbang pada pagi Khamis untuk kali kedua sejak letusan gunung berapi itu pada 19 September.

"Lapangan terbang La Palma kembali beroperasi," tulis pihak berkuasa lapangan terbang AENA dari Sepanyol, menerusi Twitter.

Syarikat penerbangan tempatan Binter mengesahkan ia memulakan penerbangan beberapa jam kemudian.

"Binter melanjutkan jadual penerbangannya dengan pulau La Palma berikutan keadaan cuaca dan abu yang bertambah baik," demikian kenyataan syarikat penerbangan.

Letusan gunung berapi La Cumbre Vieja sejak tiga minggu lalu membakar seluas 485.6 hektar tanah dan memaksa 6,000 penduduk berpindah dari kediaman mereka.

Sabtu lalu, sebahagian gunung berapi meletus menyebabkan lava baru mengalir ke lereng menuju zon perindustrian.

"Nampaknya letusan berlaku memberi laluan kepada dua aliran lava yang berbeza," kata ahli gunung berapi Stavros Meletlidis dari Institut Geografi Nasional Sepanyol kepada radio RNE.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 9:34am
d