Afrika

3,000 penduduk La Palma diminta berkurung

Oleh AFP

Madrid: Kira-Kira 3,000 penduduk pulau La Palma, pulau milik Sepanyol di barat laut Afrika, dikenakan perintah berkurung, berkuat kuasa Isnin.

Ia selepas lava dari gunung berapi Cumbre Vieja memusnahkan kawasan pembuatan simen sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai gas beracun.

Ketua operasi penyelamat, Miguel Angel Morcuende yang menangani krisis memberitahu pemberita sebahagian kilang simen terbakar disebabkan insiden itu.

"Oleh itu, kami memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung sehingga dapat menganalisis apakah kualiti udara memungkinkan untuk kehidupan normal," katanya.

Perintah berkurung itu dikenakan terhadap antara 2,500 hingga 3,000 penduduk yang tinggal di dekat kawasan pembuatan simen di sebelah barat pulau di Kepulauan Canary.

Penerbangan ke pulau itu disambung semula pada hari Sabtu selepas dua hari ditunda kerana abu dari gunung berapi berkenaan .

Walaupun 1,200 bangunan musnah susulan letusan gunung berapi berkenaan, tiada mangsa yang cedera atau terbunuh.

Gunung berapi La Cumbre Vieja yang meletus pada 19 September lalu memaksa 6,000 penduduk keluar meninggalkan kediaman mereka ketika lava membakar tanah seluas 600 hektar.

Ia pertama gunung berapi Cumbre Vieja yang terletak di Kepulauan Canary, Lautan Atlantik itu meletus dan memuntahkan lava, asap dan debu, sejak 1971.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 11:30am
d