Afrika

Lembu 'bakal' dipenjara

Oleh Agensi

Khartoum: Selepas kambing didakwa di Sudan, kali ini seekor lembu pula ditahan dan bakal berdepan hukuman penjara.

Dalam satu kenyataan polis paling pelik pernah dibuat, pihaknya menahan seekor lembu kerana menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Polis mengesahkan menahan lembu itu bersama pemiliknya atas dakwaan haiwan itu menyerang kanak-kanak itu berhampiran ladang di Lakes State.

Menurut laporan, lembu jantan yang menyerang ganas menyebabkan kanak-kanak itu terbunuh serta-merta.

Jurucakap polis Sudan Selatan, Mejar Elijah Mabor mengesahkan penahanan haiwan itu selepas kejadian.

"Lembu jantan itu kini ditahan di sebuah balai polis di Rumbek Central County.

"Kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dikebumikan ahli keluarganya," katanya dalam portal Daily Star.

Bulan lalu, seekor kambing jantan turut ditangkap dan didakwa atas tuduhan membunuh seorang wanita berusia 45 tahun di negara itu.

Susulan itu, pada minggu lalu kambing jantan berkenaan dijatuhi hukuman kerja berat di kem tentera di mana ia akan dipenjarakan selama tiga tahun.

Disiarkan pada: June 11, 2022 @ 7:01am
d