Afrika

Selamat 35 remaja jadi hamba seks

Oleh Agensi

Lagos: Polis Nigeria menyelamatkan 35 remaja perempuan dari sebuah hotel di mana mangsa digunakan sebagai hamba seks dan kemudian dipaksa melahirkan bayi seterusnya menjual bayi mereka.

Remaja itu diselamatkan dari Hotel Gally Gally pada Isnin di tenggara negeri Anambra, di mana "mangsa digunakan untuk hamba seks, pelacuran dan kilang bayi," kata jurucakap polis negeri Tochukwu Ikenga.

Empat daripada remaja perempuan itu hamil, manakala beberapa senjata dan wang tunai turut ditemukan di hotel itu.

Ikenga berkata, siasatan berjalan manakala remaja perempuan itu akan diserahkan kepada agensi kerajaan untuk pemulihan.

Beliau berkata, pemilik hotel itu sudah melarikan diri, manakala tiga suspek sudah ditahan.

"Semua suspek akan didakwa ke mahkamah pada akhir siasatan," katanya.

Apa yang dipanggil 'kilang' biasanya klinik perubatan swasta yang menempatkan wanita hamil dan menawarkan bayi untuk dijual.

Disiarkan pada: June 18, 2022 @ 6:00am
d